Pertama: YAKIN dengan segala amalan yang kita lakukan untuk Allah s.w.t tanpa rasa ragu serta melaksanakan sesuatu amalan tanpa niat untuk mengikut orang lain atau taklid dan sebagainya.
Kedua: IKHLAS dalam melakukan ibadah kepada Allah s.w.t kerana tanpa keikhlasan segala amalan yang kita lakukan tidak diterima oleh Allah. Dalam masa yang sama jauhi sifat bongkak, riak, rasa ujub dalam melaksanakan ibadah kerana niat yang terpesong itu akan meruntuhkan iman kita.
Ketiga: AMALAN SUNAT dalam ibadah seharian adalah digalakkan oleh Rasulullah s.a.w kerana amalan-amalan sunat akan menyempurnakan amalan-amalan wajib dan sangat disukai oleh allah s.w.t bagi sesiapa yang melakukannya dan menjadikan iman seseorang itu meningkat.
Keempat: ISTIQAMAH dalam beramal. Ia bermaksud kita hendaklah sentiasa mengekalkan amalan ibadah yang dilakukan walaupun sedikit tetapi berterusan. Orang yang beristiqamah dalam amal ibadah dijanjikan Allah s.w.t dengan ganjaran syurga.
Kelima: BERAKHLAK ketika beramal. Iaitu dalam melakukan ibadah kepada Allah s.w.t seseorang itu hendaklah beradab dan mempunyai tatasusila serta penuh dengan tertib. Hati, fikiran dan tingkahlaku kita perlu khusyuk dalam melaksanakan setiap ibadah yang diperintahkan-Nya